NUR SHAKINAH BINTI KADIRAN A143445

Saturday, 14 December 2013

Rumah Allah

Bertamu Ke Istana Dymm, Raja Segala Raja

Rakanku, sebagai insan biasa dalam kalangan orang kebanyakan, apakah perasaan kamu apabila suatu ketika kamu mendapat jemputan khusus ke isatana baginda Yang Di-Pertuan Agong? Sultan negeri pun belum pernah menjemput dan memuliakan kita seperti itu. Tiba-tiba raja segala sultan di Malaysia pula menyampaikan jemputan. Oh! Bertapa seronoknya.

Terasa diri dimuliakan dan bangga kerana diberi penghormatan sedemikian rupa. Selepas itu, kamu dimaklumkan pula bahawa kamu akan dikurniakan anugerah sekiranya memenuhi jemputan tersebut. Siapakah yang mahu menolak rezeki, bukankah begitu wahai rakanku?

Tambahan pula, pada zaman kemelesetan ekonomi begini dan kos sara hidup yang semakin meningkat. Asalkan ada individu yang bermurah hati memberi tanpa dipinta, ia satu nikmat yang sungguh besar. Tahukah kamu, istana siapakah yang paling istemwea di dunia ini?


Istana paling istemewa

Istana tersebut sentiasa menyebarkan alunan merdu suara jemputan lima kali sehari semalam. Jemputan itu terbuka kepada sesiapa sahaja yang sudi memijakkan kakinya di istana suci itu. Itulah dia rumah Allah yang kita namakan masjid, surau ataupun madrasah.


Allah tidak melihat kedudukan kita di dunia atau jumlah harta kita untuk melayakkan kita menjadi tetamu-Nya.

Sesiapa sahaja yang tawaduk hatinya dan cinta pada akhirat, mereka layak menjadi tetamu VVIP di “istana-Nya”.

Jika kita mendapat anugerah daripada Sultan, kita hanya menerimanya sebaik sahaja kita menjadi tetamunya di istana. Namun bagi Allah, kurniaan yang disediakan mula dicatat dalam akaun sejak niat mula terdetik di hati untuk menjadi tetamu di rumah Allah.

Catatan debit “wang” akhirat itu tidak terhenti setakat itu sahaja, pegawai akaun yang bernama Raqib akan terus menulis dan pada setiap usaha dan persiapan kita menjadi tetamu Allah.

Daripada menyucikan diri, memakai pakaian bersih, berwangi-wangian bagi lelaki, mengambil kunci motor ataupun sekadar bejalan kaki sehinggalah kita berjaya memijak kaki ke lantai istana yang penuh barakah itu, semuanya terus dicatatkan pahala.

Setiap pusingan roda kenderaan mengalirkan pahala, setiap langkah kaki yang dihayun menerbitkan pahala. Maka apa lagi yang lebih besar untuk dikejar selain bekalan akhirat yang meguntungkan berganda-ganda?


Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang bercuti dirumahnya kemudian mempersiapkan diri untuk menuju ke salah satu rumah Allah, maka salah satu solat yang difardhukan oleh Allah, maka salah satu daripada kedua-dua langkahnya dikira dengan kebaikan serta meninggikan darjatnya dan langkahnya yang lain menguggurkan dosa.” (Riwayat Muslim)


1 atau 27?

Rakanku, jika diberi pilihan antara dua nilai wang; satunya yang bernilai RM 1 dan satu lagi bernilai RM 27, yang manakah satu pilihanmu?

Saya percaya, jika ditanya kepada insan-insan yang normal, pasti mereka bersepakat mahukan nilai wang yang lebih banyak iaitu RM 27. Oleh sebab itu, kejarlah pahala solat berganda dengan menunaikannya secara berjemaah di masjid.

Rasulullah s.a.w. menawarkan ganjaran yang besar ini melalui sabdanya: “Sembahyang berjemaah itu lebih baik daripada sembahyang bersenderian dengan 27 kali ganda.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)





Makmurkanlah masjid, kerana padanya terdapat banyak kelebihan juga manfaat yang amat bernilai. Jadikan dirimu sebahagian daripadanya. Lelaki yang intim dengan masjid menunjukkan gambaran yang jelas tentang kehangatan hubungannya dengan Allah dan keselesaannya menjalin hubungan sesame manusia.

No comments:

Post a Comment